KTRW FC mahu selesai ikut peraturan

14 hours ago 10

KOTA BHARU – Pengurusan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) akan menguruskan isu yang dibangkitkan oleh Mohamad Ghaddar mengikut peraturan sedia ada.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak semua orang di luar sana memahami perkara berkaitan peraturan dalam pengurusan sesebuah kelab bola sepak sekaligus mengelak daripada menjejaskan reputasi orang-orang tertentu.

Menurutnya, pihak pengurusan kelab telah dinasihatkan agar menguruskan isu berkenaan secara bijaksana, sentiasa mengikut peraturan dan merujuk kepada pihak berkaitan seperti Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana pemain atau ejen, terutama yang mempunyai ikatan atau kontrak dengan kelab untuk meluahkan sebarang masalah di media sosial dan saya juga tidak mahu kelab terseret melakukan kesalahan sama.

“Sebarang pertikaian tidak boleh diselesaikan di media sosial dan perlu mengikut jalur-jalur peraturan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Serta Penaja Kelantan TRW di Tunjong, hari ini.

Terdahulu, Ghaddar telah memuat naik luahan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan KTRW FC termasuk Annuar sendiri bersama surat tawaran kepada pemain dari Syria, Moaiad Al-Khouli di laman instagramnya.

Annuar menjelaskan bekas ayam tambatan Kelantan itu hadir sebagai ejen untuk menawarkan beberapa pemain bagi diuji dan diserap ke dalam pasukan jika bersesuaian dengan kehendak pengurus dan ketua jurulatih KTRW FC, E. Elavarasan.

Tambahnya, apabila hadir sebagai ejen, maka tiada lagi layanan istimewa seperti dinikmati Ghaddar ketika hadir sebagai bekas pemain dalam aksi persahabatan membabitkan Ex-Treble Kelantan sebelum ini.

“Bila hadir sebagai ejen selepas diberikan surat jemputan dari pihak kelab, kita kena layan mengikut peraturan sedia ada dan semua ejen perlu menanggung perbelanjaan sendiri. Surat jemputan dikeluarkan pihak kelab pula sentiasa tertulis ‘private & confidential’ dan ‘without prejudice’.

“Surat itu tidak sepatutnya disebarkan kepada umum dan kini Ghaddar telah melanggar semua peraturan itu. Kehadirannya juga telah menimbulkan bermacam masalah termasuk kelab perlu menyemak sama ada dia adalah ejen berdaftar secara sah dan sama ada pemain yang dibawa lulus ujian kesihatan serta kecergasan.

“Kalau seseorang itu tidak ditandatangani selepas datang dan melalui semua ujian ditetapkan, pasti ada sebab-sebab tertentu yang tidak boleh diuar-uarkan demi menjaga reputasi setiap pemain dan ejen. Bukan suka-suka tidak mahu tandatangani pemain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |