SHAH ALAM – Keluarga Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful yang maut akibat lemas di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan sewajarnya.
Peguam Hafiz Norkhan yang mewakili keluarga itu berkata, pihaknya akan menghantar surat tuntutan (LOD) secara fizikal kepada pihak terlibat pada Khamis minggu depan.
Jelas beliau, tuntutan kos ganti rugi itu menamakan lima defendan melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan SSTMI.
“Tuntutan paling utama adalah berkaitan kecuaian pihak kementerian dalam memastikan keselamatan pelajar dan secara spesifiknya mangsa bagi kes ini.
“Selain itu, ia melibatkan kecuaian memastikan segala spesifikasi keselamatan bagi kawasan berisiko tinggi di sekolah berkenaan gagal dipatuhi,” katanya pada sidang akhbar di kediaman keluarga arwah di Kota Kemuning di sini, petang ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan keluarga Muhammad Zulfan,16, mendakwa terdapat unsur kecuaian yang menyebabkan kematian arwah pada 25 November tahun lalu.
Bapa arwah, Zaiful Ibrahim, 53, yang tampil membuat laporan polis pada 6 April lalu mendakwa anaknya dipercayai lemas ketika menjalani latihan pemulihan di kolam renang terjun SSTMI sedalam lima meter selepas selesai latihan bola sepak.
Kelmarin, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin ketika membahaskan perkara itu di Parlimen turut memohon pihak berkuasa memberi perhatian kepada kes berkenaan yang terdapat banyak persoalan terutama berkaitan prosedur operasi standard (SOP).
Mengulas lanjut, kata Hafiz, tindakan undang-undang itu itu diambil berikutan keluarga arwah masih tidak menerima makluman terperinci kejadian berkenaan.
“Insiden itu berlaku sejak lapan bulan lalu dan kami turut telah menghantar surat enkuiri kepada pihak kementerian.
“Kami mengambil masa agak lama kerana mendapatkan maklumat dan fakta. Kini, masa untuk kami memulakan tindakan sivil kepada pihak terlibat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.