‘Kalau dah termengandung dan hilang arah tuju, meh jumpa Mat!’

3 hours ago 1

PETALING JAYA – “Pada yang dah termengandung tanpa sengaja dan hilang hala tuju nak buat apa, meh datang jumpa Mat dekat Japerun Duyong”.

Itu pesanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem, susulan penemuan mayat seorang bayi perempuan di dalam tandas awam Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka, pagi tadi.

Noor Helmy yang gemar membahasakan dirinya sebagai ‘Mat’ itu berkata, terdapat lebih 10 pasangan berada dalam senarai simpanannya sedang menanti giliran untuk pengambilan anak angkat.

Jelas beliau, kesemua mereka adalah pasangan yang berkemampuan dalam pelbagai segi.

“Cuma rezeki anak ja mereka tak ada. Kita buat perjanjian dan akad. Dia orang tanggung segala kos rawatan sampai bersalin, kemudian anak ni diserahkan kepada mereka.

“Ikut abis prosedur kerajaan yang ada,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Beliau menegaskan, tindakan itu adalah lebih baik berbanding meninggalkan bayi yang tidak diingini di tandas awam.

“Jumpa bayi tu hidup boleh tahan lagi. Ni kalau sampai meninggal, tak ke dengan kau skali orang doakan mati cepat.

“Tawaran ni bukanlah nak menggalakkan kau orang berzina sampai mengandung anak luar nikah, tapi nak selamatkan kau orang daripada jadi pembunuh,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain telekung di dalam tandas awam Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka, pagi tadi.

Kejadian disedari kira-kira pukul 9.40 pagi oleh seorang pekerja pembersihan yang menemui sebuah beg mencurigakan dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi mayat bayi berkenaan.

Noor Helmy turut hadir ke lokasi dan meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |