KAJANG – Kadar residivis atau jenayah berulang dalam kalangan bekas prospek di seluruh negara untuk tahun ini mencatatkan kira-kira 16 peratus.
Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara Malaysia, Mohamad Rosidek Musa berkata, mengikut standard antarabangsa, sekiranya kadar residivis melebihi 20 peratus, ia bermaksud kegagalan.
“Pemulihan individu ini tidak boleh dengan satu pendekatan sahaja. Kita lihat kadar pengulangan masuk penjara ini ada dua keadaan dan salah satunya, keluar dari penjara tanpa menyediakan peluang pekerjaan.
“Mereka ini akan kembali semula ke penjara dan sekarang ini 16 peratus secara purata. Tak banyak untuk tahun ini,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Program Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 Peringkat Prospek Penjara Bersama Persatuan Generasi Teras Madani di sini, hari ini.
Rosidek berkata, Jabatan Penjara melaksanakan pelbagai pendekatan bagi program pemulihan untuk prospek antaranya melalui pemulihan terapi muzik, seni, halaqah, pendekatan keagamaan, pendidikan, kemahiran Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Katanya, penganjuran Bulan Kemerdekaan ke-68 hari ini juga salah satu pemulihan terapi muzik yang mana elemen pendekatan pemulihan di dalam Model Biopsikososial Spiritual yang menjadi sandaran kerangka pemulihan jabatan.
“Tak semua orang boleh pulih dengan hanya mendengar ceramah agama sahaja, jadi pemulihan banduan ini pelbagai sudut program sebelum kembali kepada masyarakat.
“Mereka gembira buat pantomim dan persembahan hasil daripada program terapi muzik ini. Pegawai penjara beri latihan dan bantu mereka faham tentang sosial dengan masyarakat, seterusnya masyarakat menerima mereka untuk meneruskan kepulihan,” katanya.
Mengulas lanjut, Rosidek berkata, justeru keberkesanan dalam program pemulihan sedia ada kepada banduan seharusnya dilihat merangkumi semua aspek.
“Kalau nak ukur kejayaan, program pemulihan di penjara bukan muzik sahaja, tetapi menyeluruh. Akhirnya bila mereka keluar ada pekerjaan, pada kami itulah kejayaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE