Jalan rosak, paling lama bertahan pun tiga bulan

6 hours ago 3

GUA MUSANG – Pengguna laluan Jalan Gua Musang ke Kuala Betis di sini mendakwa, jalan diselenggara pihak berwajib hanya bertahan tiga bulan sebelum kembali rosak disebabkan menjadi laluan kenderaan berat.

Tinjauan Kosmo! mendapati, terdapat kerosakan, jalan mendap, pecah dan berlubang di jalan Kampung Kundur hingga ke simpang Kuala Betis sejauh 10 kilometer.

Selain itu, jalan sempit dan ketiadaan bahu jalan juga membahayakan keselamatan pengguna terutama ketika berselisih dengan kenderaan berat.

Seorang penduduk, Mohd. Harimi Mat Zain, 43, berkata, isu jalan rosak sering membelenggu penduduk kawasan sekitar se­perti di Kuala Betis dan Felcra Panggong Lalat yang berulang-alik ke bandar Gua Musang.

Katanya, terdapat banyak kerosakan dan jalan mendap yang boleh menyebabkan kemalangan terutama pada waktu malam dan awal pagi.

“Jalan ini sudah dibaiki berulang kali. Pa­ling lama dapat bertahan selama tiga bulan. Selepas itu jalan akan kembali rosak. Sudah banyak kemala­ngan melibatkan kecederaan dan kerosakan kenderaan,” katanya.

Seorang penduduk Felcra Panggong Lalat, Zaiton Abdullah, 61, berkata, laluan terbabit merupakan laluan utama bagi penduduk dari Gua Musang untuk ke kawasan peranginan Cameron Highlands, Pahang dan Ipoh, Perak.

“Saya mengakui pihak berwajib ada membaiki dan menampal kerosakan jalan itu, namun tidak kekal lama apabila rosak kerana sering menjadi laluan lori balak serta lori kelapa sawit.

“Pengguna jalan berdepan risiko kemalangan apabila kenderaan hilang kawalan serta tayar pecah serta rosak apabila tergelincir ke dalam lopak air,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada penduduk dan pengguna berhubung isu tersebut.

Katanya, dia akan membawa isu ini kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |