KUALA LUMPUR – Institute of International and ASEAN Studies (IINTAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilancarkan sebagai pusat pemikiran baharu sekali gus mengukuhkan peranan negara sebagai hab ilmu dan diplomasi serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelancaran IINTAS hadir tepat pada masanya memandangkan Malaysia kini memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Langkah ini hadir pada masa penting ketika Malaysia memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini. Kita mesti memikul amanah ini dengan visi, kepimpinan, dan kredibiliti.
“Kita hidup dalam era penuh ketidaktentuan. ASEAN, yang sekian lama dihormati sebagai zon keamanan dan kerjasama, kini berdepan cabaran besar,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di sini, hari ini.
Selain IINTAS, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran buku Education of the Interior: Essays in Honour of Syed Ali Ashraf serta pembukaan Seminar Antarabangsa ASEAN Futures.
Menurut Anwar, IINTAS akan berperanan sebagai jambatan intelektual yang menghubungkan Malaysia dengan pusat kajian lain termasuk International Institute of Futures Studies, Centre for Peace, Dialogue, and Xenophobia Studies, Centre for Islam-Confucianism Dialogue dan rakan strategik seperti Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia)
“IINTAS juga wajar memperkukuh penglibatan dengan ASEAN’s Strategic Dialogue Partners, termasuk Amerika Syarikat, China, India, Kesatuan Eropah, Jepun, Australia, New Zealand, dan Rusia.
“Hubungan ini penting dalam membentuk bagaimana ASEAN bertindak balas terhadap cabaran global,” katanya.
Mengulas cabaran serantau, beliau berkata ASEAN kini berdepan ujian getir termasuk ketegangan antara Thailand dan Kemboja yang menyebabkan lebih 300,000 orang dipindahkan.
“Malaysia telah mengambil langkah awal. Kita menjadi tuan rumah kepada kepimpinan Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur. Ini adalah pilihan yang disengajakan. Kita komited kepada dialog, keamanan, dan mengekalkan semangat kerjasama ASEAN.
“Malaysia mesti terus menjadi medan pertemuan. Kestabilan domestik dan kredibiliti antarabangsa kita meletakkan Malaysia pada kedudukan untuk menjadi tuan rumah. Namun, kita tidak boleh hanya bergantung pada diplomasi. Kita memerlukan institusi yang mampu berfikir, menulis, dan bertindak,” katanya.
Dalam pada itu, seminar bertajuk ASEAN Futures: Navigating Regionalism, Reconciliation, and Rapprochement yang berlangsung bermula hari ini dilihat sebagai wadah penting untuk membincangkan isu ketidakstabilan, membina semula kepercayaan serantau dan merangka hala tuju ASEAN pada masa depan.
“Setiap inisiatif hari ini, buku, institut dan seminar menyumbang kepada misi lebih besar, iaitu menggabungkan ilmu, tanggungjawab dan visi demi membentuk minda, membimbing dasar serta menyokong keamanan serantau,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE