PETALING JAYA – “Saya cakap, to educate the world (untuk mendidik dunia). Selepas dia (tentera Israel) dengar perkataan tu, dia dengan pandangan yang sangat sinis, dia kata, ‘welcome to jail (selamat datang ke penjara)’.”
Itulah kata-kata yang masih terngiang-ngiang di minda salah seorang sukarelawan Malaysia, Heliza Helmi, ketika menceritakan pengalaman ditahan rejim Zionis Israel sewaktu menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Menurut Heliza, kejadian itu berlaku sejurus sebelum beliau dibawa masuk ke penjara Israel di Ashdod selepas kapal yang dinaikinya ditahan di perairan antarabangsa.
“Yang paling saya tak boleh nak lupakan, saya seorang diri ditangkap dan sebelum di blindfold (tutup mata), dia tanya satu soalan ni. Dia kata, kenapa kamu nak pergi Gaza? Saya pun jawablah sebab nak memberi bantuan,” katanya dalam sesi temu bual di Istanbul hari ini.
Namun, Heliza berkata, jawapannya itu dibalas dengan nada sinis oleh tentera Israel terbabit.
“Dia tanya lagi, bantuan apa? Saya kata bantuan makanan. Dia sindir, kenapa datang ramai-ramai nak bagi makanan?,” kongsinya.
Beliau menegaskan, pengalaman itu menjadi bukti nyata betapa tindakan kemanusiaan sekalipun dianggap satu jenayah oleh rejim Israel.
“Dan itu yang membuatkan saya rasa adakah disebabkan kita nak memberi bantuan kepada orang yang memerlukan makanan, mengakibatkan kami terpaksa pergi ke penjara,” katanya.
Heliza berkata, apa yang dialami beliau dan rakan-rakan aktivis hanyalah sekelumit kecil daripada penderitaan sebenar yang ditanggung rakyat Palestin setiap hari.
“Itulah gambaran sebenarnya rakyat Palestine tengah harungi sekarang ini, mereka tidak ada dosa, mereka tidak ada salah, tapi masuk penjara, dibunuh dan benda ini dunia perlu tahu sebenarnya,” tambahnya.
Heliza merupakan antara 23 sularelawan Malaysia yang telah ditahan tentera Israel ketika dalam misi GSF untuk menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan serta barangan keperluan buat ke penduduk Pelestin di Gaza.
Bagaimanapun, setelah hampir tiga hari menjadi tahanan rejim Zionis, kesemua wira Sumud Flotilla negara berjaya dibebaskan hasil usaha diplomatik kerajaan Malaysia bersama negara sahabat.
Kini, mereka berehat sementara di Istanbul, Turkiye sebelum dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE