Golongan lelaki berisiko jadi mangsa keganasan rumah tangga

2 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini dimaklumkan, golongan lelaki turut berisiko menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, insiden itu namun kurang dilaporkan.

Jelas beliau, siasatan adalah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Data (keganasan terhadap lelaki) dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

“Terdapat perbezaan (angka) daripada data dikeluarkan, tetapi lelaki juga berisiko jadi mangsa keganasan dan berhak dapat sokongan,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Nelson Wences Angang berhubung isu penderaan fizikal dan mental terhadap golongan lelaki.

Dalam pada itu, Noraini berkata, KPWKM mewujudkan jawatankuasa keganasan rumah tangga pada tahun 2019 bagi memantau dan menyelaras inisiatif kes keganasan rumah tangga.

Menurutnya, jawatankuasa itu bukan hanya membabitkan keganasan terhadap wanita, tetapi juga lelaki dan Talian Kasih 15999 yang diwujudkan juga bukan hanya untuk golongan wanita.

Menjawab soalan asal berhubung inisiatif seperti i-Suri bagi suami yang berperanan sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa, Noraini berkata, mereka boleh menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia di bawah peruntukan
Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 mewujudkan skim itu untuk memberi perlindungan kepada individu yang bekerja sendiri.

“Skim perlindungan ini boleh disertai suami yang berperanan sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa yang juga bekerja sendiri dalam usaha menjana pendapatan keluarga.

“Perlindungan Skim Keselamatan
Sosial Pekerjaan Sendiri telah diperluaskan kepada 20 sektor seperti perniagaan dalam talian dan teknologi maklumat.

“Individu bekerja sendiri termasuk para suami yang mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |