Freedom Flotilla: Elak tiba di Gaza 7 Oktober

1 week ago 14

SERDANG – Pelayaran misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) mengelak untuk tiba di Gaza, Palestin pada 7 Oktober memandangkan Israel berpotensi untuk melakukan serangan ke atas aktivis dan sukarelawan tersebut.

Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, ia memandangkan tarikh itu genap dua tahun Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.

“Sudah pasti mereka akan elak sampai ke Gaza 7 Oktober yang mana satu tarikh mungkin Israel akan jadikan apa alasan untuk mengambil kesempatan dan menghentam.

“Jadi besar kemungkinan mereka akan cuba elakkan tarikh berkenaan. Sebab itu semalam kapal (menunjukkan) di 0 knot berhenti di situ,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, disebabkan penukaran strategi menyebabkan aktivis dan sukarelawan lewat tiba di zon kuning yang sepatutnya sampai di sana semalam.

“Mereka berhenti sementara untuk melakukan latihan dan simulasi sekiranya diserang dan dipintas. Ada sembilan peserta menyertai misi ini dan mereka ini pernah ditahan Zionis Israel menjadikan simulasi dilaksanakan realistik,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberikan komitmen sepenuhnya kepada peserta dan segala maklumat turut disampaikan kepada Pejabat Perdana Menteri.

“Jika terjadi apa-apa kebarangkalian, bantuan yang sama akan diberikan sama seperti peserta Global Sumud Flotilla,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman berkata, sejak 7 Oktober 2023 hingga kini, sebanyak RM27 juta sumbangan daripada rakyat Malaysia telah disalurkan kepada penduduk Gaza.

Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.

Kapal terbesar Conscience melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini melibatkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |