
- Oleh MEJA SUKAN KOSMO!
- 2 September 2025, 8:30 pm
NEWCASTLE – Impian penyerang Brentford, Yoanne Wissa untuk mencari angin baharu menjadi kenyataan selepas dia berjaya melengkapkan perpindahan ke Newcastle United.
Selepas dua bidaan Newcastle ditolak, Brentford akhirnya terpaksa mengalah apabila menerima tawaran perpindahan bernilai £50 juta (RM285.70 juta) dan bonus tambahan £5 juta (RM28.57 juta).
“Saya sangat gembira untuk berada di sini dan menandatangani kontrak bersama antara kelab terbesar di Liga Perdana Inggeris.
“Saya sangat teruja untuk menyarung jersi hitam putih. Saya miliki keyakinan, impian dan bersedia untuk memberikan yang terbaik. Saya tidak sabar untuk beraksi,” katanya.
Wissa menjadi penyerang kedua ditandatangani oleh Newcastle pada jendela perpindahan kali ini selepas mereka membawa masuk Nick Woltemade dari Stuttgart dengan kontrak selama enam tahun. – AGENSI