EPL: Bayangan penguasaan Liverpool jelas

7 hours ago 3

LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui para pemain pasukan itu adakalanya perlu melakukan magis dan mempamerkan prestasi luar biasa ketika berdepan aksi getir selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Arsenal di Anfield awal pagi semalam.

Perlawanan itu menyaksikan pemain tengah Liverpool, Dominik Szoboszlai muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan menerusi sepakan percuma yang cukup sempurna membolehkan The Reds mencatat kemenangan bersih selepas tiga perlawanan.

Menurut Slot, perlawanan yang sukar seperti itu biasanya akan berakhir dengan keputusan seri, namun Szoboszlai berjaya menonjolkan diri untuk keluar daripada prestasi kebiasaan dengan penyudah untuk cukup sempurna.

“Saya fikir, jika kami bermain perlawanan seperti ini 10 kali, kami mungkin akan mendapat keputusan seri dalam lapan perlawanan, kami mungkin menang sekali dan Arsenal menang sekali.

“Perlawanan ini sangat sengit dan rumit, tetapi ia perlawanan yang cukup positif kerana kedua-dua pasukan memiliki kekuatan seimbang di bahagian serangan dan pertahanan.

“Apabila kami memerlukan magis, aksi kali ini kami memiliki Dominik. Dia tidak mencapai tahap terbaik seperti musim lalu dalam perlawanan awal musim ini, namun dia antara pemain yang faham apa yang diperlukan oleh Liverpool dalam aksi seperti ini,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool kini mengutip sembilan mata dan diekori oleh Chelsea dengan mengumpul tujuh mata, namun Slot mengakui pasukannya perlu mengekalkan prestasi terbaik untuk kekal menguasai saingan dan mempertahankan kejuaraan.

“Kami meraih sembilan mata selepas tiga aksi dan ia lebih baik berbanding musim lalu apabila kami hanya mengumpul lima mata dalam jumlah aksi yang sama awal musim. Tapi, saya sedar bahawa kami mampu menjadi lebih baik,” jelasnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |