JAKARTA – Seorang diplomat dari Kedutaan Besar Indonesia (KBRI) di Peru ditembak mati di hadapan pangsapurinya petang semalam(waktu tempatan), lapor laman berita Tempo.
Polis Kebangsaan Peru (PNP) berada di tempat kejadian untuk menyiasat jenayah tersebut. Seperti laporan laman berita Infobae, polis Peru mengesyaki tindakan balas dendam sebagai motif jenayah.
Ketika kejadian, mangsa pulang ke rumah bersama isterinya, yang tinggal di sebuah bangunan berbilang keluarga di Jalan César Vallejo, daerah Lince.
Diplomat tersebut dikenali sebagai Zetro Leonardo Purba, 40, telah dipintas oleh dua lelaki bermotosikal. Suspek kemudian melepaskan tiga das tembakan ke arahnya.
Zetro dikejarkan ke Klinik Javier Prado tetapi meninggal dunia akibat kecederaan parah.
“Ini adalah pembunuhan pertama yang kami siasat tahun ini di daerah Lince. Peristiwa dan motif di sebalik serangan belum diketahui,” kata Pesuruhjaya PNP, Guivar kepada stesen televisyen tempatan.
“Kami tidak menolak kemungkinan balas dendam. Kami sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti penyerang. Berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup yang kami teliti, mereka disyaki warga asing,” tambahnya.
Menurut penduduk tempatan, Zetro tiba di negara itu lima bulan lalu. Beliau berkhidmat sebagai Pentadbir Canselori Muda di Kedutaan Besar Indonesia di Lima, Peru.
Mangsa tinggal bersama isteri dan dua anak kecilnya di sebuah pangsapuri yang terletak di blok 3, Jalan César Vallejo.
Kata beberapa saksi, mangsa menunggang basikal ketika dibunuh.
Berbasikal adalah sebahagian daripada rutin hariannya, kerana beliau menggunakan kenderaan kecil itu untuk bergerak antara misi diplomatiknya di San Isidro dan rumahnya.
Isteri si mati yang menunggunya di pintu masuk bangunan, tidak cedera.
Beliau kini berada di bawah perlindungan polis, bersama anggota keluarga si mati yang lain. – AGENSI