KUALA LUMPUR – Terima tawaran kerja daripada rakan sebelum dipaksa dan dipukul untuk bekerja sebagai ‘scammer’ di Kemboja.
Itu nasib dialami dua individu dikenali sebagai Peter, 34, dan Jackson, 40, yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas terjerat dalam sindiket penipuan pekerjaan.
Menurut Low Ang Seow, 67, anak lelakinya, Peter ada memaklumkan untuk pergi ke Filipina atas urusan kerja yang diperkenalkan oleh rakannya pada 15 April lalu.
Namun, katanya, dia terkejut menerima mesej di Telegram sekitar pukul 1.40 pagi pada 12 Ogos lalu bahawa anaknya sudah ditipu dan dibawa ke Kemboja untuk bekerja.
“Anak beritahu ejen sindiket berkenaan tidak membenarkan dirinya pulang ke Malaysia dan saya sangat bimbang dengan keselamatan anak saya.
“Dia tak tahu tempat itu (Kemboja) adalah sindiket penipuan dan pemerdagangan manusia selepas dia sampai barulah dia tahu lokasi itu adalah tempat jenayah,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.
Ang Seow berkata, anaknya sebelum sebelum ini bekerja sebagai mekanik di bengkel kereta sebelum menjadi pemandu e-hailing.
“Ketika itu, dia kenal dengan rakan baharunya. Individu itu yang membawa anak saya ke Kemboja dan dia dipercayai sudah pun pulang ke Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, Lee Kay Hock, 45, mendakwa bahawa sepupunya iaitu Jackson telah ditipu oleh rakannya yang menawarkan pekerjaan di Thailand sebelum membawanya ke Kemboja.
Katanya, Jackson mendakwa dia telah dipukul serta berada dalam keadaan takut dan amat tertekan selain merayu untuk diselamatkan pulang ke Malaysia.
“Beberapa hari lalu. dia tiba-tiba hubungi saya melalui WhatsApp dan beritahu yang sebenarnya dia berada di Kemboja, bukan di Thailand.
“Dia dipaksa bekerja selama berjam-jam tanpa rehat yang cukup. Jadi, dia minta tolong saya. Kami sedang cari jalan macam mana nak bawa dia balik ke Malaysia dari Kemboja,” jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Kemboja bagi membantu mengesan kedua-dua individu berkenaan.
“Kita akan laksanakan koordinasi dengan pihak berkaitan dan saya akan salurkan maklumat kepada pasukan ‘task force’ di Kemboja bagi membawa mereka pulang.
“Namun, saya ingin nasihatkan supaya masyarakat tidak mudah percaya kepada tawaran pekerjaan yang meragukan meskipun ia datang daripada kawan sendiri,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE