Dadah dari Kelantan dipos guna kurier ke Sabah, Sarawak

3 hours ago 4

KOTA BHARU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan taktik sindiket dadah di Kelantan yang menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar bahan terlarang itu ke Sabah dan Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati, perkhidmatan kurier merupakan salah satu cara yang digunakan oleh sindiket dadah untuk menghantar dadah.

Menurutnya, sehubungan itu, PDRM akan bekerjasama dengan syarikat kurier untuk mengekang kegiatan sindiket yang menggunakan perkhidmatan tersebut untuk menghantar dadah.

“Ada dadah dari Kelantan yang dihantar ke Sabah dan Sarawak menggunakan perkhidmatan kurier. Kita juga tahu perkhidmatan kurier merupakan salah satu kaedah yang digunakan sindiket pengedaran dadah.

“Kita akan bekerjasama dengan syarikat kurier dalam usaha untuk mereka memperketatkan prosedur agar sindiket berkenaan tidak sewenang-wenangnya menggunakan syarikat kurier bagi menghantar dadah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hussein memberitahu Hussein berkata, usaha untuk merobohkan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand merupakan salah satu usaha bagi mengekang penyeludupan dadah ke negara ini.

Menurutnya, beliau percaya sindiket penyeludupan akan menggunakan pendekatan atau jalan lain untuk terus menjalankan kegiatan tersebut selepas ini.

“Kita akan melihat ruang dan kelonggaran yang membolehkan sindiket penyeludpan menyeludup dadah selepas ini.

“PDRM akan menggunakan segala aset yang ada seperti dron bagi mengekang penyeludupan dadah. Selain itu, kerjasama dengan agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia akan terus dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |