PETALING JAYA – Seorang guru mendakwa guru-guru sukan boleh mendapat tuntutan (claim) sehingga RM14,000 bagi membawa pelajar bagi penyertaan acara sukan di luar sekolah, sekali gus mampu memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) seperti Toyota Alphard.
Bagaimanapun komen guru tersebut yang menggunakan nama akaun Akmal sebenarnya perlian atau sindiran terhadap satu hantaran dibuat pada Facebook Pendidik2u ‘Cikgu yang boleh pakai Alphard ni buat side income (pendapatan sampingan) apa?’.
“Setiap kali hantar budak MSSD, dapat claim dekat RM14,000. Dapat dua kali claim, dah boleh bayar 10 peratus deposit Alphard. Itu MSSD. Kalau MSS Negeri? Kebangsaan? Jadi sebab tu ramai cikgu yang ‘stay’ sekolah tak puas hati dengan cikgu sukan. Boleh keluar sekolah, tidur hotel, makanan disediakan, claim pula berbelas-belas ribu,” katanya secara sindiran.
Komen dimuat naik oleh Akmal mendapat pelbagai maklum balas termasuk ada yang memahami maksud tersirat perlian berkenaan, manakala ada juga yang tidak memahaminya sekali gus mengecam guru tersebut.
“Setuju, tiga kali aku keluar jadi pengadil MSSM pun dapat RM75,000, sekali keluar RM25,000. Daerah saja RM5,000, negeri RM15,000,” kata pengguna Facebook Rasis Jalil meninggalkan komen perlian.
“Jangan nak menipu ya, tak adanya berbelas-belas ribu. Saya biasa claim paling kurang RM25,000,” komen Mohd Irwan Rospi nada memerli.
Dalam masa sama, hantaran mengenai penggunaan Toyota Alphard dalam kalangan guru oleh Facebook Pendidik2u turut mendapat pelbagai maklum balas terutama daripada golongan pendidik.
“Kerja dah 20 tahun ke atas dah boleh agak berapa gaji suami isteri. Kalau dua dua cikgu, pinjaman bagai semua dah selesai. Kalau baru kerja, mana mahunya,” komen pengguna Facebook Tze Lan.
“Saya dah 13 tahun masih guna Alpard yang sama. Tak pernah meragam sampai sekarang, tak perlu side income yang banyak pun. Janji pandai urus duit gaji suami isteri. Guna kenderaan yang kita beli sebaik mungkin, berbaloi untuk keluarga anak lima macam saya.
“Barang ganti murah saja, bulanan RM1,500 boleh lah. Berbaloi untuk keluarga kami yang selalu balik kampung dan bawa keluarga jalan-jalan. Dah habis bayar dah pun, kereta pertama Perodua Kancil, kedua Proton Persona dan ketiga Toyota Alphard,” komen Siti Harnani Yusoff. – KOSMO! ONLINE