Che Nom nak undur diri dari YouTube…?

15 hours ago 8

PETALING JAYA – “Sampai satu tahap…Che Nom mula rasa ingin buat sesuatu yang lebih bermakna secara peribadi. Masa semakin berharga dan anak-anak makin membesar.

Itu antara perkongsian Youtuber masakan terkenal, Che Nom, apabila ramai yang bertanya mengapa beliau kini kurang memuat naik video tidak seperti sebelumnya.

Jelas Che Nom, beliau rasa sangat bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang telah dicapai bersama peminatnya selama ini setelah lebih 416 juta tontonan dan 24 juta jam tontonan.

“Daripada hanya kongsi resepi di rumah, kini kami dah jadi satu jenama, bantu ramai yang baru nak belajar memasak, guna resepi untuk bisnes kecil-kecilan, dan yang rindu masakan kampung. Semua ini sangat bermakna dalam hidup Che Nom.

“Che Nom nak fokus pada keluarga, kesihatan, dan kehidupan yang lebih tenang. Kadang-kadang, yang paling ‘fulfilling’ bukan lagi angka atau ‘views’ tapi masa yang diluangkan dengan orang tersayang dan buat perkara yang dekat dengan hati,” katanya di media sosial.

Namun katanya, beliau tidak akan terus berhenti serta-merta tetapi secara perlahan-lahan akan mengurangkan output (penerbitan).

“Mungkin tiga ke empat video sebulan sahaja, atau fokus kepada kandungan eksklusif untuk ahli yang benar-benar hargai kualiti.

“Doakan agar perjalanan seterusnya lebih bermakna dan membawa manfaat dalam bentuk yang lain pula, insya-Allah. Terima kasih atas sokongan selama ini. Tanpa anda semua, tak mungkin Che Nom sampai ke tahap ini,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, Che Nom meluahkan rasa kecewa setelah video masakkannya dicuri dan dijadikan ‘content’ (kandungan) oleh pengguna TikTok lain sehingga meraih hampir 96,000 pengikut.

Menurut Che Nom atau nama sebenarnya, Norma Bakar, sia-sia sahajalah penat lelahnya merekod, menyunting serta mengedit video sekiranya hasil kerjanya begitu mudah dicuri oleh pihak lain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |