Buruh ‘lalok’ dituduh intai pempengaruh wanita masuk jel enam bulan

4 hours ago 4

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh lelaki yang tular kerana didakwa mengintai seorang usahawan wanita yang juga pempengaruh popular di dalam bilik air sebuah inap desa pada minggu lalu dipenjara enam bulan atas kesalahan positif dadah jenis amphetamine pada sembilan tahun lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Farhan Rizal didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine ke dalam badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 12.15 tengah malam, 11 April 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, Ahmad Farhan Rizal tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengintai seorang wanita dan menceroboh premis kediaman pada minggu lalu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 36 tahun di sebuah inap desa di Banggol Peradong, Manir di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 26 Ogos lalu.

Ahmad Farhan Rizal didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa menceroboh inap desa tersebut pada tarikh dan masa sama dan berhadapan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM3,000 jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Kosmo! 29 Ogos lalu melaporkan seorang pempengaruh berasal dari Ampang, Selangor mendakwa telah diintip dan dirakam sewaktu dia berada di dalam bilik air sebuah inap desa disewanya di Manir di sini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |