Bung Moktar tidak tahu RM2.8 juta masuk akaun Zizie Izette

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu, beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai ‘introduction fee’ (wang pengenalan) bernilai RM2.8 juta yang diterima isterinya Zizie Izette A Samad daripada dua ejen pelaburan berhubung pelaburan Felcra Rm150 juta.

Bung Moktar, 65, yang merupakan saksi pembelaan pertama itu berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette.

Peguam: Setuju dengan saya dalam kes ini, Datin Seri (Zizie Izette) tidak pernah beritahu ‘introdection fee’ yang diterima daripada Norhaili dan Mahdi (dua ejen pelaburan)?

Bung Moktar: Betul

Sebelum ini, semasa diperingkat pendakwaan, Mahkamah Sesyen di sini diberitahu Zizie Izette layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar berkata bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie itu merupakan strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

Dalam pada itu semasa prsiding hari ini, Bung Moktar turut mengakui bahawa isterinya yang juga seorang selebriti itu tidak pernah mencampuri atau memberi pendapat mengenai urusan kerjanya di Parlimen.

Semalam, Bung Moktar dalam keterangan semasa pemeriksaan utama, memberitahu beliau tidak pernah mengetahui bahawa isterinya akan dan telah menerima wang RM2.8 juta tersebut masing-masing pada 12 dan 17 Jun 2015 daripada dua ejen pelaburan tersebut.

Pada masa sama, beliau juga tidak dimaklumkan oleh isterinya mengenai penerimaan wang tersebut selain tidak dimaklumkan oleh mana-mana orang mengenai hal tersebut sehinggalah dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar tahun 2016 atau 2017.

Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad bersambung lagi petang ini.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati di sini pada 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

Pertuduhan ketiga, Bung Moktar turut dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama pada 17 Jun 2015. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |