‘Belum layak mengajar, saya sendiri masih terkapai-kapai’

7 hours ago 3

BERADA dalam kelas tersendiri dengan lebih dua dekad pengalaman menjual bakat lakonan, aktres versatil Nabila Huda mengakui belum sedia untuk mencurah ilmu di dada kepada rakan seperjuangan mahupun bakat baharu.

Bukan kedekut atau tiada permintaan, Nabila atau mesra disapa Abil, 41, berasakan tidak layak duduk di kerusi jurulatih lakonan berikutan masih banyak kekurangan serta skil yang perlu dimantapkan.

“Memang ada bertanyakan tentang kelas lakonan, tapi saya belum layak lagi untuk jadi guru atau mengajar teknik lakonan. Saya sendiri masih belajar dan terkapai-kapai mahu hidup macam orang biasa.

“Di rumah, saya ingin menjalani kehidupan normal setiap hari, menjadi ibu dan isteri sepenuh masa pun masih belum lepas. Jadi untuk mengajar orang untuk berlakon agak sukar,” katanya selepas pelancaran kempen SocialCeleb di PJ Pac, baru-baru ini.

Begitupun, Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) itu sedia berkongsi ilmu di set penggambaran mahupun memuat naik hantaran berkaitan kerja lakonan sebagai rujukan.

“Kalau mereka sekadar bertanya dan mahukan pendapat di lokasi penggambaran, saya terbuka untuk berkongsi sahaja ilmu andai ada kelapangan masa.

“Dalam Instagram pun saya selalu memuat naik video membabitkan tugasan penggambaran termasuk persediaan sebelum masuk set yang juga antara bentuk perkongsian ilmu.

“Kalau di lokasi ada pelakon yang mahu minta pandangan, saya berbesar hati bantu andai punya masa. Sekadar berkongsi, tidaklah sampai ke tahap mengajar.

“Bagi saya setiap orang mempunyai bakat dalam diri sendiri, cuma kena banyak belajar dari pengalaman,” ujarnya.

Bekas hos Melodi itu juga bertegas, sebagai penggiat seni dia juga masih perlu berguru agar tidak menjadi pelakon yang stereotaip.

“Dengan berterusan menggali ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman saya dapat belajar sesuatu yang adakalanya saya sendiri pun tidak sedar.

“Itu yang seronok bila berguru. Tapi siapa tahu mungkin tahu suatu hari nanti saya ingin gunakan apa yang saya ada, saya faham serta saya pelajari sepanjang dalam industri ini untuk dikongsi ramai.

“Mereka kena tahu sebab kerjaya ini tidak semuanya indah, maksud saya bukan dari segi kontroversi atau publisiti. Saya masuk ke industri pun bukan kerana semua itu kerana saya nak bekerja, berkarya serta cari rezeki,” katanya.

Sementara itu, mengenai program SocialCeleb, Nabila merupakan mentor yang mencari bakat baharu dalam pelbagai bidang seni menerusi penyertaan di media sosial.

Menerusi kempen terbabit, peserta dapat merasai pengalaman sebenar berada dalam industri kreatif melalui bimbingan barisan mentor berpengalaman.

Antara mentor lain termasuklah, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Aaron Aziz dan Nabil Ahmad. Pendaftaran untuk menyertai kempen berkenaan akan dibuka pada 9 September ini menerusi laman rasmi SocialCeleb.

Read Entire Article
Pertanian | | | |