JOHOR BAHRU – Lapan individu termasuk seorang wanita dikenali sebagai Bella dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas atas empat pertuduhan melakukan ugutan bunuh, memukul, mengurung dan mendatangkan kecederaan ke atas seorang pemuda, Jumaat lalu.
Tertuduh, Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan manakala tujuh rakan lelakinya mengaku bersalah atas empat pertuduhan sejurus kertas pendakwaan dikemukakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Mereka ialah Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25, Ahmad Rushdi Jumadi, 23 , Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25, dan Muhammad Haikal Zulkarnain, 19.
Turut dituduh ialah Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23, Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20, dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19.
Mengikut pertuduhan kesemua mereka secara bersama dengan dua lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan ugutan bunuh, melakukan pemerasan dan mengurung secara salah serta mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Blok J, Pangsapuri Daisi, Jalan Bunga Daisi, Plentong, Masai, di sini antara 10 malam 18 April hingga 19 April lalu.
Pendakwaan dikemukan mengikut Seksyen 506, Seksyen 384, Seksyen 323 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman serta Nur Fatihah Mohd Nizam.
Manakala kesemua tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahin Mohd Yazid dan T. Nadarajan.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Norfarahin bagaimanapun merayu supaya mahkamah mengenakan jamin yang rendah terhadap anak guamnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM16,000 terhadap tujuh lelaki manakala Bella RM14,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh sebutan semula adalah pada 3 Jun depan untuk bacaan fakta kes dan hukuman. – KOSMO! ONLINE