WASHINGTON – Pengguna perlu mengemas kini aplikasi WhatsApp di telefon bimbit iPhone bagi mengelak terdedah kepada serangan siber, lapor portal berita MailOnline semalam.
Satu gangguan dalam aplikasi sembang milik Meta itu menyebabkan pengguna-pengguna iPhone terdedah kepada serangan siber sofistikated yang boleh mencuri data peribadi mereka.
Sejumlah pengguna WhatsApp menerima amaran bahawa mereka mungkin menjadi mangsa serangan ‘zero-click’ yang telah berlanjutan selama tiga bulan.
Serangan itu berlaku secara automatik sebaik sahaja mesej, panggilan atau data berbahaya dihantar menerusi WhatsApp mangsa.
Penggodam boleh terus mengambil alih kawalan WhatsApp, mencuri maklumat, membaca mesej, dengar perbualan atau memasang perisian intip tanpa disedari.
Namun, masih belum jelas berapa ramai yang terjejas dan siapakah dalang serangan tersebut.
WhatsApp telah membaiki kelemahan yang membuka ruang serangan itu tetapi pengguna perlu mengemas kini peranti mereka bagi memastikan perlindungan berkuat kuasa.
Ketua Keselamatan Makmal Amnesty International, Donncha O Cearbhaill berkata di platform X bahawa: “WhatsApp baru sahaja menghantar notifikasi ancaman kepada individu yang dipercayai telah menjadi sasaran kempen perisian intip dalam tempoh 90 hari lalu.
“Pastikan peranti anda dikemas kini.”
Kelemahan tersebut dikenali sebagai CVE-2025-55177 ditemui oleh penyelidik dalaman pasukan keselamatan WhatsApp dan diperincikan dalam sebuah catatan blog ringkas.
Menurut WhatsApp, kelemahan itu berkemungkinan telah digunakan dalam serangan canggih terhadap sasaran tertentu.
Ia menyatakan kelemahan itu menjejaskan sistem iOS dan macOS, tetapi O Cearbhaill percaya pengguna iPhone dan Android akan turut berdepan masalah tersebut. – AGENSI