KUANTAN – Seramai 41 lelaki ditahan selepas terlibat dalam permainan perang menggunakan senjata api tiruan jenis ‘Air Soft Gun’ di Padang Hangus, Gebeng, di sini Ahad lalu.
Operasi khas Op Laras itu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan D9 (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama unit khas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kuantan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, serbuan bermula kira-kira pukul 3 petang mendapati 39 lelaki sedang mengikuti taklimat sebelum memulakan aktiviti ‘War Game’ di tanah rezab TLDM yang belum dibangunkan.
“Polis turut menahan dua lelaki lain di lokasi berasingan membabitkan pemandu Toyota Vellfire dan Proton X70 yang membawa pelbagai jenis senjata ‘airsoft’ serta aksesori taktikal.
“Antaranya 65 laras senapang, 32 pistol angin, 130 kelopak peluru, 28 vest, 40 helmet serta ‘goggle’, 22 bungkus peluru BB, 18 unit gas dan bateri serta 35 aksesori lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.
Tambahnya, keseluruhan rampasan membabitkan 406 unit barangan tiruan dianggarkan bernilai RM100,000.
Dalam pada itu Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana memiliki senjat api tiruan tanpa lesen atau permit sah yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Katanya, semua suspek berusia antara 21 hingga 66 tahun itu merupakan warga tempatan yang datang daripada pelbagai latar belakang kerjaya termasuk pesara tentera, anggota tentera, jurutera, guru, doktor fisioterapi, juruteknik, pekerja kilang, penjawat swasta serta pelajar. – KOSMO! ONLINE