39 ahli tiga sindiket pelaburan palsu dicekup

2 hours ago 2

SHAH ALAM – Kelicikan tiga sindiket penipuan skim pelaburan kripto palsu dengan menjadikan rumah teres dan kondominium sebagai markas mereka tumpas hasil tiga serbuan berasingan di sekitar Subang Jaya dan Rawang, baru-baru ini.

Serbuan terhadap pusat panggilan sindiket tersebut dilakukan antara 11 hingga 28 Ogos lalu berjaya menahan 39 suspek termasuk 13 warga asing berusia 18 hingga 57 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan ini hasil kerugian yang direkodkan sebanyak RM515 juta dalam talian di Selangor.

Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket berbeza ini telah beroperasi antara Mac hingga Julai lalu dengan menyasarkan mangsa dari negara Hong Kong, Australia dan Singapura.

“Ketiga-tiga sindiket ini menggunakan modus operandi sama iaitu berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan bagi tujuan mencari mangsa.

“Pada peringkat awal, ahli sindiket akan berkomunikasi dengan mangsa melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, telegram dan WhatsApp.

“Setelah itu, mangsa yang berjaya diyakinkan akan ditawar menyertai pakej pelaburan dikawal ahli sindiket lain dengan pakej pelaburan itu adalah tidak wujud,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Jelas beliau, mangsa menyedari ditipu selepas bayaran telah dibuat dan ahli sindiket gagal dihubungi lagi.

Ujarnya, hasil serbuan terhadap ketiga sindiket berjaya merampas pelbagai peralatan termasuk komputer riba, telefon bimbit, modem yang dianggarkan keseluruhan RM170,000.

“Turut dirampas adalah sembilan buku skrip bagi memperdayakan mangsa-mangsa mereka,” tegasnya

Beliau menambah, seramai 17 suspek telah didakwa mengikut Seksyen 130B (2) Kanun Keseksaan di mahkamah dan didenda masing-masing sebanyak RM3,000.

“Siasatan terhadap 12 lagi suspek masih diteruskan di bawah seksyen yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |