2 guru tak mengaku rotan pelajar hingga cedera

1 week ago 12

GEORGE TOWN – Dua guru sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di daerah ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan berasingan merotan seorang pelajar sehingga mengalami kecederaan, dua tahun lalu.

Di Mahkamah Majistret 2, tertuduh, Lau Teik Hwa, 47, mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail.

Mengikut pertuduhan, Teik Hwa yang masih bertugas didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun dengan menggunakan rotan di bilik disiplin SMJK di daerah Timur Laut, kira-kira pukul 4 petang, 2 Ogos 2023.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Farihin Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Koay Ee Teng.

Dalam prosiding, Siti Nur Farihin meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 manakala peguam tertuduh pula memohon jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya.

“Tertuduh juga sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak berusia 11, 15 dan 18 tahun. Kami mohon jaminan RM4,000 dikurangkan,” ujar Ee Ting.

Bagaimanapun, mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 November depan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, seorang lagi tertuduh, Chong Kean Beng, 59, yang merupakan pesara guru juga mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Dia didakwa atas pertuduhan sama dan melibatkan mangsa sama, namun masa serta tarikh berbeza. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 5.30 petang, 6 Disember 2023.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Zaida Azuwa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, K.Mahendran.

Ketika prosiding, Mahendran memohon mahkamah mengurangkan jaminan memadangkan anak guamnya merupakan seorang pesara guru dengan memperoleh pencen bulanan sebanyak RM4,000 sebulan.

”Anak guam saya perlu menanggung seorang isteri dan dia juga telah diberikan jaminan polis pada Disember 2023,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dia dan keluarganya dilarang mengganggu saksi dan mangsa serta menetapkan 4 November depan sebagai sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |