Warga UiTM agih pek bubur lambuk

7 hours ago 4

SHAH ALAM – Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk Syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) dan Media Mulia Sdn. Bhd. telah berjaya menggabungkan tenaga bersama kakitangan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) , Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini kelmarin.

Aktiviti memasak secara rewang bermula seawal pukul 8 pagi dan melibatkan 70 orang kesemuanya termasuk pelajar dan kakitangan FKPM serta Media Mulia untuk menyediakan 1, 000 pek bubur lambuk.

Bubur popular dalam bulan Ramadan itu kemudiannya mula diedarkan pukul 2 petang dengan setiap pek turut berisi produk Mahsuri Dagang kepada warga UiTM Shah Alam.

Dekan FKPM, Prof. Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman berkata, bubur lambuk adalah menu yang sinonim setiap kali tibanya Ramadan.

Apa yang dilakukan pada program kali ini adalah ia melebihi bukan sekadar hanya menyediakan juadah makanan tersebut.

Ahmad Tajudin menyerahkan pek bubur lambuk kepada kakitangan UiTM.

“Sebaliknya, memberi pendedahan kepada kakitangan dalam memperoleh ilmu pengetahuan bagi menghasilkan bubur lambuk dengan cara betul dan terbaik.

“Menerusinya, ia juga memberi ruang kepada kami untuk mengeratkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan antara pelajar, kakitangan fakulti ini dan juga warga media Media Mulia,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Turut hadir Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Tajudin Idris, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi dan Pengarang Kosmo! / Kosmo! Ahad, Wan Hasnan Wan Hasan.

Selain itu, Abd. Rasid menerangkan, program bubur lambuk ini juga dapat memberi manfaat kepada pelajar UiTM untuk memasak bubur lambuk pada program lain pada masa depan.

“Ini akan meningkatkan keternampakan FKPM di mata masyarakat.

“Kami berharap dapat bekerjasama dalam program ini pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. Mohd. Jazri Ikmal Hijaz memberitahu, pemilihan UiTM selaras dengan hala tuju syarikat dalam mempertingkatkan jenama kepada pelajar universiti awam secara keseluruhannya.

Kerjasama memasak bubur lambuk secara rewang memberi peluang kepada kakitangan FKPM dan juga pelajar mempelajari teknik memasak hidangan itu dengan betul.

Tambah beliau, pelajar universiti awam juga mungkin menghadapi kekangan ekonomi berbanding pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Ini adalah nilai teras syarikat kita untuk memberikan semula manfaat kepada komuniti. “Alhamdulillah, urusan perniagaan bertambah baik dari tahun ke tahun.

“Jadi, kita akan sentiasa menyediakan peruntukan untuk program masyarakat termasuk kepada rumah anak yatim dan asnaf,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Jazri menegaskan, pihaknya akan melebarkan program Chef Muda Mahsuri yang merupakan salah satu program biasiswa kepada pelajar yang mengikuti kulinari.

“Kita beri biasiswa penuh bersama elaun dan membayar yuran mereka. Tiada timbal balas dengan mereka diberikan biasiswa ini perlu bekerja dengan kita.

“Sehingga sekarang, kita ada 30 alumni Cef Muda dan program ini telah memasuki tahun ketiga.

“Kita juga sedang mengkaji peluang dalam memperluaskan program ini ke Sarawak. Perbincangan sedang dijalankan dan berharap tahun ini dapat memeterai perjanjian dengan sebuah kolej di negeri itu,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |