PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir ekoran jangkaan hujan lebat dan angin kencang di 11 negeri sehingga pukul 9 malam ini.
Menurut MetMalaysia, amaran itu melibatkan beberapa daerah di negeri Kedah, Perak, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
“Di Kedah antara kawasan terlibat adalah Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu).
“Di Perak, kawasan dijangka mengalami hujan lebat ialah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim) dan keseluruhan Perlis.
“Di Kelantan pula kawasan terlibat adalah Jeli dan Gua Musang, Terengganu (Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan)” lapor MetMalaysia.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut menjangkakan cuaca buruk malam ini melibatkan negeri Selangor, (Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang), Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Amaran sama juga dikenakan di beberapa daerah di Johor iaitu Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) serta Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau),” kata MetMalaysia.
Menurut MetMalaysia, Sarawak turut dijangka mengalami hujan lebat di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
Cuaca sama turut melanda Sabah melibatkan kawasan Pedalaman, Pantal Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau) dan Sandakan (Tongod, Telupid dan Kinabatangan) serta Wilayah Persekutuan Labuan. – KOSMO! ONLINE.