MADINAH – Rakyat Malaysia yang tidak mempunyai visa haji yang sah diminta keluar segera dari Mekah bermula semalam atau berdepan tindakan tegas termasuk ditahan, didenda, diusir serta disenarai hitam oleh Kerajaan Arab Saudi.
Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif berkata, Kerajaan Arab Saudi memperketatkan peraturan melarang individu menunaikan haji tanpa permit yang sah.
“Mereka yang menunaikan haji tanpa permit terdedah kepada pelbagai risiko serius. Individu yang mengerjakan haji tanpa permit akan dikenakan tindakan seperti penahanan dan pengusiran, denda sehingga 20,000 riyal serta larangan masuk semula ke Arab Saudi.
“Ini termasuk larangan memasuki Kota Suci Mekah kepada individu yang menggunakan visa ziarah atau mana-mana kawasan larangan mulai 1 Zulkaedah sehingga 14 Zulhijjah.
“Bermula hari ini (semalam) sudah bermula visa haji. Bagi mereka yang tidak mempunyai visa haji saya mohon keluar segera dari Mekah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyantuni 284 jemaah haji termasuk 31 petugas daripada kumpulan pertama tiba di Madinah pada pukul 8.04 pagi menerusi penerbangan KT001 di Hotel Emaar Royal, di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata, dari sudut keselamatan, jemaah tanpa permit haji tidak mempunyai akses kepada kemudahan asas yang disediakan untuk jemaah berdaftar seperti perkhidmatan perubatan, makanan, penginapan di Arafah dan Mina serta bimbingan ibadah.
“Saya bagi pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi dan Tabung Haji (TH) menyeru semua rakyat Malaysia untuk menggunakan saluran rasmi seperti TH bagi urusan pendaftaran dan pelaksanaan haji,” ujarnya.
Tambah beliau, Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan yang erat sejak bertahun lamanya.
“Justeru saya berharap agar rakyat Malaysia dapat mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan oleh Arab Saudi berkaitan haji dan umrah.
“Ini adalah penting untuk menjaga huhungan erat dan nama baik Malaysia di kaca mata Arab Saudi,” ujarnya.