PGA rampas kaki, hati ayam bernilai hampir RM1.9 juta

9 hours ago 8

PADANG BESAR – Polis merampas pelbagai barangan sejuk beku bernilai RM1.89 juta selepas menyerbu sebuah gudang yang disyaki menyimpan kaki dan hati ayam beku tanpa Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) di Kawasan Perindustrian Padang Besar, semalam.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan anggota Batalion 1 PGA kira-kira pukul 7 malam.

“Hasil risikan selama dua minggu, serbuan dilakukan ke atas sebuah gudang berdekatan Jalan Padang Besar-Kangar selepas anggota mengesan dua kenderaan Toyota Hilux berdaftar di Thailand sedang memunggah barangan sejuk beku,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua kenderaan menemui 260 paket kaki ayam seberat 5,200 kilogram (kg) dan 140 pek ubi kentang seberat 1,400 kg.

Difahamkan, modus operandi sindiket adalah menyusun kaki ayam di bahagian dalam kenderaan sebelum menutup lapisan luar dengan bungkusan ubi kentang yang diikrar sebagai ‘barangan lain-lain’.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut di dalam gudang tersebut menemui lima kontena sejuk beku bersaiz 29.7 meter persegi yang mengandungi pelbagai barangan.

“Sebanyak 31.6 tan kaki ayam dan 10.2 tan hati ayam beku termasuk di dalam pikap dan kontena dirampas selain sebuah jentera forklift yang digunakan untuk mengangkat barang-barang sejuk beku terbabit turut disita,” ujarnya.

Shahrum berkata, dua lelaki warga Thailand masing-masing berusia 22 dan 34 tahun yang berada di lokasi ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan berkaitan barangan tersebut selainkedua-duanya tidak memiliki permit kerja yang sah,” katanya.

Katanya, keseluruhan rampasan melibatkan dua buah kenderaan bernilai RM340,000, lima buah kontena bernilai RM1 juta dan forklift bernilai RM30,000.

“Selain itu, nilai rampasan kaki ayam dianggarkan RM379,200, hati ayam RM102,000 dan ubi kentang RM42,000, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah RM1,893,200,” jelasnya.

Polis percaya kegiatan itu telah berjalan sejak tahun 2022 dengan aktiviti pemunggahan berskala kecil menggunakan pikap ‘bonded’ dari Thailand untuk mengaburi mata pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |