Penduduk panik serbu pasar raya

9 hours ago 8

MADRID – Orang ramai yang panik menyerbu pasar raya di Sepanyol dan Portugal sehingga menyebabkan rak-rak menjadi kosong, ketika bekalan elektrik terputus di seluruh Semenanjung Iberia, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Gambar-gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan rak di pasar raya ‘licin’ ketika penduduk membeli stok barang keperluan di tengah-tengah kebimbangan bahawa gangguan itu berlarutan selama beberapa hari.

Rakaman video menunjukkan orang ramai beratur dalam barisan panjang di luar kedai runcit dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ketika urus niaga tanpa tunai tidak dapat digunakan.

Jalan-jalan raya di Sepanyol, Portugal dan sebahagian Perancis sesak teruk apabila lampu dan lampu isyarat tidak berfungsi.

Sebilangan hospital membatalkan semua pembedahan kelmarin di tengah-tengah kebimbangan keselamatan pesakit dalam insiden seumpamanya paling teruk di rantau itu selama bertahun-tahun.

Perkhidmatan kereta api Sepanyol turut terhenti sepenuhnya, menyebabkan orang ramai terkandas di stesen dan rangkaian laluan bawah tanah di Madrid.

Trafik udara pula dikurangkan kepada separuh kapasiti susulan pembatalan penerbangan di beberapa lapangan terbang Sepanyol, manakala ibu negara Portugal, Lisbon membatalkan semua ketibaan selama berjam-jam.

“Talian internet dan telefon terputus, perkhidmatan data tergendala serta ATM juga tidak dapat digunakan,” kata seorang penduduk Kepulauan Canary di Sepanyol. 

Seorang penduduk Madrid berkata kepada saluran berita CNN: “Saya sedang memandu apabila lampu isyarat tiba-tiba tidak berfungsi. Sebuah bas menuju ke arah saya dengan laju dan saya terpaksa memecut untuk mengelak daripada dilanggar.” – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |