OTTAWA – Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berikrar untuk mengalahkan Amerika Syarikat (AS) dalam perang perdagangan dengan Presiden Donald Trump selepas memenangi pilihan raya umum dan mengetuai Parti Liberal untuk satu lagi penggal.
Berikutan kempen yang dikuasai isu tarif dan ancaman rampasan negara oleh Trump, Carney berjanji untuk melakar jalan baharu ke hadapan dalam dunia yang diubah oleh AS.
“Kami berasa terkejut dengan pengkhianatan Amerika tetapi tidak boleh melupakan pengajarannya,” kata Carney yang mengetuai bank pusat Kanada dan Britain sebelum menceburi bidang politik awal tahun ini.
“Kami akan memenangi perang perdagangan ini dan membina ekonomi terkuat dalam Kumpulan 7 (G7),” katanya.
Parti Liberal yang diketuai Carney memperoleh kawalan ke atas Parlimen Kanada tetapi mungkin tidak mencapai majoriti.
Ia memerlukan parti itu membuat perjanjian dengan parti lebih kecil tetapi tetap menandakan kemunculan semula yang luar biasa untuk Liberal.
Sementara itu, Parti Konservatif pimpinan Pierre Poilievre pada awalnya berada di landasan yang betul untuk memenangi pilihan raya.
Namun, dasar Trump yang digabungkan dengan pentadbiran bekas Perdana Menteri yang tidak popular, Justin Trudeau, mengubah persaingan.
Carney yang menggantikan Trudeau sebagai Perdana Menteri bulan lalu, meyakinkan pengundi bahawa pengalamannya menguruskan krisis ekonomi menjadikannya calon yang ideal untuk menentang Trump.
Poilievre mengakui kekalahannya hari ini dan berjanji untuk bekerjasama dengan Parti Liberal untuk menentang Trump.
“Kami akan sentiasa mendahulukan Kanada,” kata Poilievre kepada penyokongnya di Ottawa. – AFP