Sindiket ejen haram ‘bersaudara’ tawar perkhidmatan imigresen tumpas

5 hours ago 3

PUTRAJAYA – Taktik dua warga Bangladesh yang mempunyai talian persaudaraan menawarkan perkhidmatan imigresen dengan bayaran RM1,000 hingga RM2,000 untuk setiap permohonan tumpas apabila dicekup Jabatan Imigresen semalam.

Kedua-dua mereka antara empat warga asing yang dicekup imigresen menerusi operasi khas yang dijalankan di dua lokasi sekitar Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pasukan operasi menyerbu premis dan rumah kediaman suspek hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

“Pasukan operasi berjaya menahan lelaki warga Bangladesh yang dipercayai sebagai dalang utama.

“Turut ditahan tiga lelaki terdiri daripada warga Bangladesh, India dan Indonesia yang dipercayai sebagai ejen.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua warga Bangladesh dipercayai dalang dan ejen itu mempunyai pertalian persaudaraan,” katanya hari ini.

Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 23 hingga 48 tahun.

Semakan awal mendapati tiga lelaki memiliki Pas Penggajian yang masih sah laku, manakala lelaki warga Indonesia telah tinggal lebih masa.

Katanya, modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan berkaitan permit kerja pekerja asing yang ingin memperbaharui permit kerja.

Jelasnya, sindiket juga menggunakan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan mereka.

“Sindiket ini telah beroperasi selama setahun. Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di
bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Selain itu, kes ini juga akan disiasat oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di bawah Seksyen UUK 20(1)(e) Pelesenan TRED, Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016.

Ia dibawah kesalahan menjalankan aktiviti lain di premis perniagaannya selain daripada aktiviti perniagaan yang dinyatakan dalam lesennya.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 79(1) Akta Parit Dan Bangunan 1974 iaitu membina struktur sekatan dalaman untuk dijadikan bilik atau ruang pejabat tanpa kelulusan DBKL. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |