PETALING JAYA – Penuh sampai lima troli, pelakon Datin Intan Najuwa mengakui perlu membeli barangan runcit dalam kuantiti banyak demi memenuhi keperluan keluarga, termasuk pembantu rumah serta jururawat yang menetap bersamanya.
Ujar Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, pembelian barangan keperluan tersebut dilakukan setiap dua minggu.
“Kebiasaannya kita akan berakhir dengan empat hingga lima troli ketika membeli barangan runcit.
“Sebab di rumah ramai orang, jadi setiap dua minggu saya akan beli tujuh hingga lapan ekor ayam.
“Tak termasuk makanan laut, daging dan lain-lain. Rumah hari-hari macam kenduri,” katanya menerusi Instagram Story.
Tambah pelakon drama Tuan Danial itu lagi, kerja pembersihan bahan mentah biasanya diuruskan pembantu rumah sebelum disimpan dalam peti sejuk beku secara teratur.
“Kebiasaannya, pembantu akan bersihkan dan siang ikan semua sebab mereka terlebih rajin.
“Mereka akan letakkan barangan basah dalam tupperware dan susun dalam tempat penyejuk beku.
“Dapur dan pantri pun dah macam kedai runcit, kedai tomyam pun ada,” kongsinya.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai hingga mencetuskan rasa kagum dan cemburu dalam kalangan netizen.
“Macam-macam ada dekat rumah, lengkap macam pasar mini,” komen seorang pengguna media sosial.
“Bestnya, rumah sentiasa cukup stok makanan. Rajin sungguh Intan uruskan keluarga,” tulis seorang netizen.
“Dari beli sikit-sikit, baik beli terus banyak. Bijak dan lebih jimat masa. Mewah betul hidup. Rasa nak jadi Intan Najuwa, dilayan macam ratu” ujar seorang peminat.
Sebelum ini, Intan memaklumkan bahawa seramai tiga orang pengasuh tinggal bersamanya untuk menjaga anak sulungnya, Imane Lunara.
Suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman juga turut membayar jururawat khas demi memastikan kesihatan serta kebajikan Imane sentiasa terjaga. – KOSMO! ONLINE