TANGKAK – Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Sawah Ring, di sini ketika memasang tajur seorang diri, malam Ahad lalu.
Mangsa, Mohd. Saufi Rosni, 39, ditemui kira-kira pukul 9.30 pagi hari ini lengkap berpakaian terapung kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir lelaki yang bekerja sebagai posmen itu dilaporkan terjatuh.
Difahamkan, mangsa keluar memasang tajur seorang diri dengan menaiki bot melalui anak Sungai Baru, Kampung Sawah Ring, Gersik di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Ahad lalu untuk memancing ikan.
Mangsa yang masih bujang itu disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah selain ada penduduk menyedari bot hanyut tanpa pengemudi disyaki bot dinaiki mangsa sebelum kehilangannya dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan I (KUP), Johar Tumim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.36 tengah hari semalam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di tempat kejadian, kami dimaklumkan bahawa mangsa dipercayai terjatuh ke dalam anak sungai yang mempunyai kedalaman kira-kira 30 meter.
“Operasi pencarian dimulakan menggunakan sebuah bot nelayan dengan bantuan pihak polis, sebelum kami mendapatkan sokongan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Muar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Johar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas mangsa dihentikan kira-kira pukul 8 malam semalam sebelum disambung hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, mangsa akhirnya ditemui orang awam pada jam 9.50 pagi Selasa dalam keadaan tidak bernyawa.
“Mayat kemudiannya diangkat ke dalam bot menggunakan pengusung dan dibawa ke darat untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,”katanya.- KOSMO! ONLINE