Budak banyak main dapat 10A SPM

7 hours ago 8

KLANG – Enggan terus terpalit dengan kegagalan membuatkan seorang remaja lelaki tekad mengubah dirinya sehingga berjaya memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, baru-baru ini.

Isma Daniel Khairul Syakirin, 18, merupakan antara anak angkat Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, titik perubahan bermula apabila bapanya, Khairul Syakirin Abdul Wahab meninggal dunia pada 10 Mac 2022 akibat pandemik Covid-19.

Katanya, ketika itu dia menuntut di Tingkatan 3 dan arwah bapanya meninggalkan pesanan supaya belajar bersungguh-sungguh selain menggalakkannya mengambil subjek Prinsip Akaun.

“Semasa di Tingkatan 3, saya banyak main dan gagal dalam subjek Sejarah. Saya dapat tahu jika gagal Sejarah dan bahasa Melayu tiada sijil SPM. Jadi, saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Terdahulu, Isma Daniel menerima kunjungan Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2024 di rumahnya di Kampung Tok Muda, Kapar di sini.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah itu, keputusan cemerlang tersebut bukan sahaja mengejutkan dirinya malah keluarga dan pihak sekolah.

Remaja itu hanya memperoleh keputusan 4A 7B dalam percubaan SPM sebelum ini.

“Tips mudah sahaja iaitu perlu ada niat belajar dan impian kita pada masa depan. Saya berminat untuk membuka perniagaan,” katanya yang mengikuti pembelajaran di Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Tinggi Klang.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai enam anak-anak YKM mencatatkan keputusan 6A ke atas daripada 36 calon yang menduduki SPM 2024.

Mereka menerima wang tunai RM500 berserta sijil penghargaan.

“Kita memang memberikan tumpuan kepada pendidikan kerana ia mampu mengubah nasib anak-anak YKM. Justeru, seramai 40 anak-anak YKM akan mengikuti kem motivasi SPM tahun ini di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau memaklumkan YKM turut menyalurkan bantuan RM200 untuk pelajar 16 tahun ke bawah dan RM250 bagi pelajar 16 tahun ke atas selain sumbangan perayaan kepada lebih 1,000 orang di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |