KUALA LUMPUR – Seramai 31 daripada 91 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, di sini yang terjejas dalam kebakaran asrama sekolah itu hadir ke kelas seperti biasa, hari ini.
Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan, Megat Affandi Ismail berkata, bagi memastikan pelajar yang terkesan mendapat sokongan, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah segera memperkenalkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula esok.
“Pelaksanaan PdPR dijangka berjalan selama dua minggu untuk memulihkan emosi pelajar selain meneruskan kesinambungan akademik mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Menurut Megat Affandi, pelbagai kaedah sokongan disusun termasuk menyediakan pengangkutan khas seperti bas ‘shuttle’ kepada pelajar yang terjejas.
Beliau memberitahu, pihaknya juga merancang untuk menempatkan pelajar-pelajar terbabit di asrama berhampiran untuk sementara waktu.
“Kita bakal memanfaatkan kuarters guru yang baru dibaik pulih untuk keperluan penempatan kecemasan bagi kegunaan pelajar dan warden terlibat.
“Gerakan kaunselor juga dilaksanakan secara menyeluruh supaya kesejahteraan emosi, tempat tinggal, dan keperluan psikososial pelajar diutamakan,” katanya.
Beliau memaklumkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan sejumlah besar dokumen penting milik guru membolehkan sebahagian urusan sekolah berjalan lancar walaupun berdepan cabaran.
Pihak sekolah dan jabatan pendidikan kini komited untuk memantau keadaan pelajar, memastikan sokongan berterusan diberikan agar tiada sesiapa tercicir daripada pembelajaran dalam tempoh mencabar ini.
Kosmo! Online malam tadi melaporkan, seramai 91 pelajar lelaki berdepan detik cemas apabila asrama mereka di SMK Tinggi Setapak terbakar pada pukul 8.30 malam. – KOSMO! ONLINE