SEREMBAN – Situasi kusta di Kuala Pilah melibatkan dua perkampungan Orang Asli Chergun dan Guntur berada dalam keadaan terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, berkata, pejabat kesihatan daerah telahpun melakukan saringan ke atas penduduk serta rawatan susulan kepada pesakit kusta.
Menurut beliau, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) berkaitan penyakit kusta, menjalankan aktiviti saringan penyakit kusta di lokaliti Orang Asli berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan kusta di kawasan tersebut, memastikan kes kusta mendapat rawatan yang diperlukan dan seterusnya menjalankan pengawasan terhadap semua pesakit kusta yang telah tamat rawatan selama 5 hingga 10 tahun.
“Selain itu, semua kontak kepada kepada kes kusta yang dikenal pasti akan disaring dan diberikan satu dos ubat antibiotik profilaksis (pencegahan) untuk penyakit kusta. Semua kontak ini juga akan dipantau selama 1 hingga 5 tahun.
“Kementerian Kesihatan komited meningkatkan aktiviti saringan kusta melalui program Latihan, Kesan, Analisa, Rawat dan Rujuk (Lakar) di lokaliti Orang Asli melalui kerjasama dengan pemimpin setempat dan agensi-gensi kerajaan dan bukan kerajaan yang lain.
“Bagi tahun 2024, program Lakar telah dijalankan di sembilan lokaliti di seluruh Negeri Sembilan yang mana lima lokaliti terdiri daripada perkampungan Orang Asli. Aktiviti saringan penyakit kusta juga dilakukan dalam skala lebih kecil melibatkan institusi, perkampungan, dan tempat kerja,” katanya pada Pertanyaan Lisan (Hari Ketiga) Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN-Juasseh) berkenaan usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan penghapusan penyakit kusta secara total, khususnya dalam kalangan komuniti Orang Asli dan penduduk kampung berdekatan.
Tengku Zamrah berkata, antara strategi untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit kusta di kalangan pelajar sekolah, Jabatan Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan adalah dengan menjalankan aktiviti-aktiviti ceramah kesihatan khususnya berkaitan penyakit kusta di sekolah-sekolah di seluruh Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE