Kaut untung berjuta, jual minyak enjin palsu label jenama terkenal

6 hours ago 6

PETALING JAYA – Membotolkan semula minyak enjin kenderaan disyaki palsu dengan menggunakan label terkenal sebelum dijual menerusi platform media sosial dan bengkel kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Itu modus operandi satu sindiket yang beroperasi di tiga premis perniagaan di Ara Damansara, Subang dan Kepong didakwa mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.

Tinjauan wartawan Kosmo! di salah sebuah premis di Ara Damansara mendapati premis itu dipenuhi botol minyak enjin serta tangki dan mesin dipercayai digunakan untuk menyimpan dan membotolkan semula minyak ke dalam bekas berkapasiti satu hingga empat liter.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Biro Jenayah Hidupan Liar/ Perisikan dan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, seramai 13 individu ditahan dalam serbuan berkenaan.

Menurutnya, kesemua suspek yang merupakan pekerja di premis berkenaan terdiri daripada empat lelaki tempatan, dua wanita tempatan serta tujuh lelaki warga asing.

“Hasil siasatan, dua premis didapati berfungsi sebagai gudang untuk menyimpan minyak yang sudah dibotolkan manakala sebuah lagi digunakan untuk aktiviti membotolkan minyak berkenaan.

“Minyak enjin itu disyaki dijual lebih murah daripada harga pasaran, antaranya melalui platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram, selain diedarkan terus ke bengkel,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Operasi bermula pukul 11.30 pagi itu diketuai Ketua Penolong Pengarah, WCB/PSK KDNKA Bukit Aman, Asisten Komisioner Zulkarnain Samsudin dan Pegawai Penguat Kuasa KPDN Putrajaya, Ahlami Idris Abdul Rashid.

Mengulas lanjut, katanya, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak dua hingga tiga tahun lalu dan menggunakan taktik menyamar sebagai pengeluar sah walaupun tidak mempunyai pengiktirafan rasmi.

Mohammad Azlin berkata, rampasan yang dibuat membabitkan minyak enjin, botol kosong, tangki berisi cecair termasuk label jenama palsu, dengan anggaran nilai jutaan ringgit.

“Pihak KPDN akan menjalankan analisis terhadap sampel minyak enjin dengan kerjasama Jabatan Kimia bagi mengesahkan kandungannya, sama ada selamat atau tidak untuk digunakan.

“Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Perihal Dagangan 2011 termasuk tindakan mengikut Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |