Tangan sejuk tapi sambutan diterima hangat sekali – Jemaah Malaysia

8 hours ago 6

MADINAH – “Sebenarnya saya mahu menyorok.”

Demikian reaksi spontan pesara guru, Noorazlina Abd. Kadir, 60-an, seorang daripada 284 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama KT001 sebaik tiba di bangunan penginapan Zon 2, Hotel Emaar Royal, di sini hari ini.

Suaminya, Mohd. Nazly Tan Abdullah, 64, menjadi jemaah haji pertama yang turun dari bas sebaik tiba di bangunan itu diikuti dengan Noorazlina.

Noorazlina berkata, ketika berada di tanah air dia dimaklumkan jemaah kumpulan pertama akan diberi liputan semasa berlepas dari KLIA Terminal 1, Sepang, Selangor dan sewaktu tiba di Madinah.

“Saya tidak mahu, tetapi apabila Tuhan sudah kata hendak kena (ditemu bual media) tetap kena juga kan.

“Masya-Allah perasaan tiba di bumi berkah ini tidak terkata sebab kami terkejut berbaur gembira. Memang gembira dan tidak sangka kami diraikan meriah sebegini. Terima kasih Tabung Haji (TH),” katanya di sini semalam.

Mohd. Nazly pula berkata, pengalaman datang ke Tanah Suci kali ini dianggap amat luar biasa kerana hanya memerlukan masa lima minit ketika melalui pemeriksaan imigresen Arab Saudi.

“Semasa naik ‘shuttle’ di lapangan terbang saya yang terakhir. Tidak sangka dapat duduk di depan (dalam bas) dan menjadi orang pertama diraikan.

“Tangan saya sejuk disebabkan pendingin hawa, namun sambutan yang diterima hangat sekali. Saya berasa amat teruja,” kata lelaki mualaf itu yang sudah memeluk Islam sejak berusia 21 tahun.

Seorang lagi jemaah haji, Supiah Hussin, 70, tidak dapat menahan sebak sebaik tiba di Madinah selepas terpilih sebagai dhuyufurrahman pada musim haji tahun ini.

“Saya menyimpan duit selama 15 tahun hasil berniaga kuih. Walaupun tak banyak, kadang-kadang cuma dapat RM10 atau RM20 sehari, tetapi alhamdulillah.

“Dengan duit tabungan itu akhirnya Allah jemput saya menjadi tetamu-Nya,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 284 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama KT001 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz, di sini kira-kira 8.04 pagi waktu tempatan.

Ketibaan mereka di bangunan penginapan jemaah haji di Hotel Emaar Royal Madinah pada 9.35 pagi disambut Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif.

Turut hadir, pihak pengurusan Lembaga TH terdiri daripada Konsul Haji Malaysia, Radin Adi Hilmi; Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah dan Timbalan Ketua Rombongan, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff serta petugas TH bagi musim ini.

Read Entire Article
Pertanian | | | |