PETALING JAYA – Masuk dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah selama 11 tahun membawa padah kepada seorang lelaki warga Indonesia apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat tahun lima bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis lepas.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM KL), Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, lelaki itu ditahan dalam operasi penguatkuasaan awal Februari lalu.
“Sepanjang berada di Malaysia, lelaki ini telah bekerja dengan beberapa majikan dan tempat secara tidak sah.
“Lelaki berkenaan merupakan salah seorang daripada 37 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah diambil tindakan undang-undang oleh JIM KL,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa daripada jumlah itu, seramai 18 lelaki dan 19 wanita didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan memiliki pas berbentuk cap palsu di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara terhadap 34 PATI dengan tempoh antara satu bulan hingga 53 bulan.
“Selain itu, seorang PATI dikenakan denda RM10,000, manakala dua lagi individu ditangguhkan perbicaraan ke tarikh lain,” katanya.
Menurut Wan Mohammed Saupee, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang imigresen dan memberi amaran tegas kepada majikan supaya tidak menggajikan atau melindungi PATI.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan diperluaskan ke semua lokasi penempatan, sektor perniagaan serta kategori pekerjaan.
“Kami menyeru mana-mana PATI di Kuala Lumpur supaya segera menyerah diri di Bahagian Penguatkuasa JIM KL, Jalan Duta bagi mengelakkan hukuman lebih berat jika ditangkap dalam operasi,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE