SEBERANG PERAI – Seorang buruh dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan menculik seorang kanak-kanak autistik, Mac lalu.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal memerintahkan tertuduh Jasri Ismail,36, menjalani hukuman terbabit bermula dari tarikh tangkap pada 31 Mac lalu.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menculik seorang kanak-kanak lelaki dari bawah penjagaan bapanya berusia 42 tahun di tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena, Kepala Batas pukul 8.20 malam, pada 30 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh kemudiannya memohon budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara minima bermula dari tarikh tertuduh ditangkap atas alasan lelaki yang masih bujang itu perlu menyara ibunya berusia 75 tahun selain bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan RM1,800.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli memohon hukuman setimpal susulan tertuduh menculik kanak-kanak berusia lima tahun yang juga berstatus istimewa.
“Kejadian juga berlaku pada malam Hari Raya Aidilfitri yang mana sepatutnya mangsa menggunakan waktu tersebut untuk bersama keluarganya malah turut mencederakan mangsa susulan terdapat kesan luka,” katanya.
Sementara itu, Aini Adilah turut menjatuhkan hukuman setahun penjara terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah mencuri kereta jenis Honda BRV milik bapa kepada kanak-kanak lelaki yang diculiknya.
Mahkamah turut mengarahkan barang kes diserahkan semula kepada pemilik asal.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dia melarikan sebuah kereta bersama kanak-kanak autistik dari tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena.
Suspek itu diberkas bersama mangsa dalam kenderaan berkenaan di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Perak.
Hasil siasatan mendapati suspek turut memiliki rekod jenayah lampau membabitkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain. -KOSMO! ONLINE