Bayar zakat dapat melancong ke Turkiye

4 hours ago 3

SHAH ALAM – Pembayar zakat Selangor berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi “Jom Bantu Asnaf Setiap Bulan” dengan hadiah utama iaitu pakej percutian ke Turkiye bernilai RM6,000.

Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor, Muhd. Fikri Naim berkata, kempen terbaharu tersebut dilakukan menerusi pembayaran zakat melalui Skim Potongan Gaji dan “Direct Debit.

Katanya, ini bagi menggalakkan umat Islam serta syarikat korporat di negeri ini membayar zakat seterusnya mencapai sasaran kutipan zakat tahunan sebanyak RM2 bilion menjelang 2030.

“Kempen itu akan bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember tahun ini dengan pembayar zakat bertuah turut akan menerima pakej pelancongan Muslim bernilai RM1,200.

“Selain itu, mereka juga berpeluang menerima cabutan emas seberat 0.5 gram dan 50 kad Touch’N Go bernilai RM100,” katanya selepas Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor 2025 (GRASIAZ) yang dihadiri Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir di Wisma PKPS di sini hari ini.

Muhd. Fikri memberitahu, LZS turut memperluaskan dakwah kepada pembayar zakat perniagaan menerusi Kempen Suburkan Niagamu bagi tempoh yang sama.

Ujarnya, pemenang utama kempen tersebut akan memenangi hadiah dalam bentuk Pakej Laman Web E-Commerce dan kursus keusahawanan bernilai RM3,500.

“Kita juga akan memperhebatkan program pembayar zakat cilik di sekolah-sekolah yang telah dimulakan sejak dua tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 10 syarikat menerima Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sempena GRASIAZ 2025 tersebut.

Pada majlis sama, LZS turut menerima bayaran zakat perniagaan daripada tiga syarikat berjumlah keseluruhan RM409,051.75 daripada Kenanga Investment Bank Berhad, Kiddocare Sdn. Bhd. dan TSM Venture Group Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |