Satu lagi potongan paip gas di Putra Heights sedang dibawa keluar

2 hours ago 3

SUBANG JAYA – Satu lagi potongan saluran paip dengan ukuran sepanjang empat meter perlu dibawa keluar bagi dianalisa oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Tindakan itu dilakukan bagi mengetahui punca kebakaran di Putra Heights, pada 1 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebelum ini tiga spesimen paip berukuran 16 meter berjaya dibawa keluar setelah kerja-kerja pengorekan dijalankan.

Beliau berkata, proses siasatan di ‘ground zero’ mengambil masa lebih kurang seminggu lagi oleh kerana proses membawa keluar spesimen terakhir sedang dijalankan.

“Proses pengorekan adalah tidak mudah, dengan keadaan tanah yang tidak stabil. Kawah letupan ini sudah pun dikorek sedalam 16 meter.

“Bagaimanapun, pengorekan kini dah hampir selesai, sekarang kita kena potong paip itu untuk dibawa keluar,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini, hari ini.

Tambah Hussein, kerja pengorekan mengeluarkan kesemua saluran paip berukuran 20 meter itu tidak mudah, lebih-lebih lagi ketika musim hujan.

“Kalau ikutkan, proses pengorekan dari 2 April telah bermula, daripada 28 hari, 20 hari hujan. Apabila hujan, ambil masa lebih kurang sehari setengah untuk mengepam semula air yang bertakung.

“Jadi sebab itu sangat sukar untuk proses siasatan dijalankan. Selepas siasatan dijalankan, barulah kerja-kerja pemulihan paip dilakukan. Itu pulq akan ambil masa berbulan-bulan lamanya bergantung kepada pihak Petronas,” katanya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, analisa yang akan dijalankan oleh pihak JKKP akan dibantu dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) bagi pengujian bahan.

Selain itu, beliau juga berkata pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) juga akan mengambil sampel tanah untuk membantu mengeluarkan laporan berkaitan struktur tanah di lokasi kejadian.

Insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku pukul 8.10 pagi pada 1 April lepas, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |