‘Saya tak faham lagu abah, Raya Gen Z lagi sedap rasanya’

1 week ago 15

KUALA LUMPUR – Anak kepada usahawan terkenal Datuk Aliff Syukri iaitu Qadejah Aliff Syukri menyifatkan tindakan bapanya yang melancarkan lagu raya serentak dengannya pada tahun ini sebagai satu persaingan sihat.

Qadejah yang baru melancarkan lagu Raya Gen Z bersama tiga penyanyi lain iaitu Ara Aziz, Alyssa Dezek dan Cik B bagaimanapun tetap berasa tercabar selain menyifatkan lagunya lebih baik berbanding milik bapanya.

“Baru-baru ini ketika kami sekeluarga makan malam, saya dan abah saling berpandangan dan bertanya mengenai lagu raya masing-masing.

“Kemudian, kami dengar lagu sama-sama. Rasa-rasanya lagu saya lebih sedap sebab saya tak faham lagu abah.

“Saya rasa tercabar, tetapi persaingan adalah benda yang baik sebab akan buatkan kita untuk sentiasa memperbaiki diri,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media pelancaran lagu Raya Gen Z di sini, baru-baru ini.

Paling membuatkan keadaan bertambah kecoh, Raya Gen Z dan lagu raya nyanyian Aliff duet bersama Iman Troye iaitu Raya Ya Ya dilancarkan pada hari sama baru-baru ini.

“Abah ada keluar lagu Raya Ya Ya dan lagunya siap pada hari yang sama dengan lagu raya saya, Raya Gen Z.

“Abah cakap, lagu saya sedap tapi tetap cakap lagu dia lebih baik walaupun hakikatnya tidak pun,” katanya lagi.

Sedar dengan kecaman negatif netizen, Qadejah menyifatkan perkara tersebut mampu menjadikan seseorang individu lebih baik.

“Hentaman (kecaman) adalah benda yang baik sebenarnya.

“Semua itu akan menjadikan kita orang yang lebih baik. Setiap kritikan yang diberikan, akan saya gunakan untuk perbaiki kelemahan diri,” tuturnya.

“Iman membantu terlalu banyak untuk lagu raya mereka. Tanpa Iman, lagu itu biasa sahaja. Kehadiran Iman dapat selamatkan suara abah,” katanya lagi.

Sehingga kini, video muzik lagu Raya Gen Z meraih lebih 74,000 tontonan sejak dilancarkan pada 1 Mac lalu.

Manakala, video muzik rasmi Raya Ya Ya pula mencatat 470,000 tontonan dalam YouTube. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |