Rusuhan di Istanbul, majalah siar karikatur Nabi Muhammad

6 hours ago 5

ISTANBUL – Pergolakan tercetus di Istanbul semalam dengan polis menembak peluru getah dan gas pemedih mata untuk meleraikan kumpulan perusuh susulan laporan sebuah majalah satira menerbitkan karikatur Nabi Muhammad, kata seorang wartawan AFP.

Insiden berlaku selepas ketua pendakwa raya Istanbul mengarahkan penahanan beberapa editor majalah LeMan kerana menerbitkan kartun yang ‘secara terbuka menghina nilai-nilai agama’.

“Pejabat pendakwa raya melancarkan siasatan terhadap penerbitan kartun dalam isu 26 Jun 2025 majalah LeMan yang secara terbuka menghina nilai-nilai agama, manakala waran tangkap telah dikeluarkan terhadap mereka yang terlibat,” kata pejabat pendakwa raya.

Salinan imej hitam-putih yang dimuat naik di media sosial menunjukkan dua watak terapung di langit di atas sebuah bandar yang dibom.

“Assalamualaikum, saya Mohammed,” kata seseorang sambil bersalaman dengan individu kedua yang menjawab: “Waalaikumussalam, saya Musa.”

Namun, ketua editor majalah itu, Tuncay Akgun memberitahu AFP melalui telefon dari Paris bahawa imej itu telah disalah tafsir dan ‘bukan karikatur Nabi Muhammad’.

Ketika berita itu tersebar, berpuluh-puluh penunjuk perasaan menyerang sebuah bar yang sering dikunjungi kakitangan LeMan di pusat bandar Istanbul, mencetuskan pergaduhan sengit dengan polis, kata seorang wartawan AFP.

Pergaduhan bertukar menjadi pertempuran melibatkan antara 250 hingga 300 orang, kata wartawan itu.

Dalam beberapa hantaran di laman X, Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya berkata, polis menahan kartunis bertanggungjawab untuk ‘lukisan keji itu’, ketua editor majalah LeMan dan pereka grafiknya.

Polis turut mengambil alih pejabat majalah itu di Istiklal Avenue dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap beberapa eksekutif majalah sama.

Dalam beberapa siri hantaran di laman X, LeMan mempertahankan kartun itu dan berkata, ia sengaja disalah tafsir untuk menimbulkan provokasi.

“Kartunis itu ingin menggambarkan kebenaran orang Islam yang tertindas dengan menggambarkan seorang Muslim yang dibunuh oleh Israel, dia tidak pernah berniat untuk merendahkan nilai-nilai agama,” katanya.

Namun, Akgun berkata, alasan serupa pernah digunakan oleh penerbitan lain sebelum ini dan menganggapnya sebagai serangan provokasi yang sangat sistematik.

Menurut Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc, siasatan dibuka kerana ‘secara terbuka menghina nilai-nilai agama’.

“Sikap tidak hormat terhadap kepercayaan kami tidak akan dapat diterima,” katanya di laman  X.

“Tiada kebebasan yang memberikan hak untuk menjadikan nilai-nilai suci sesuatu kepercayaan sebagai subjek humor yang hodoh. Karikatur atau sebarang bentuk representasi visual Nabi kita bukan sahaja menghina nilai-nilai agama kita tetapi juga merosakkan ketenteraman  masyarakat,” tambah Tunc. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |