PETALING JAYA – Tidak berkompromi dengan ugutan, penyanyi Baby Shima lega apabila lelaki yang mengancam keselamatannya sudah ditahan polis semalam.
Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 30, berkata, tindakan undang-undang diambil sebagai peringatan kepada mana-mana individu agar menjauhi jenayah kebencian.
“Saya harap kita berfikir dahulu sebelum mengeluarkan sebarang ugutan membabitkan ancaman terhadap nyawa orang lain. Jangan didorong perasaan.
“Perkara seumpama ini yang wajar jadi peringatan kerana perbuatan dilakukan adalah berkaitan jenayah kebencian hanya kerana tidak menyukai saya.
“Saya tak kisah pun kalau tidak sukakan saya, tetapi janganlah tergamak melayangkan ugutan sebegitu,” katanya kepada HibGlam.
Penyanyi lagu Bujang Sarawak itu mengakui komen menakutkan dalam Facebook daripada individu asal Bumi Kenyalang itu disedari ketika sudah berada di Sibu atas undangan mengadakan persembahan.
Pengguna laman sosial itu dalam komennya mengingatkan Shima agar berhati-hati sekiranya tidak mahu pulang sebagai mayat.
Sebagai langkah berjaga-jaga, dia membuat laporan di Balai Polis Sibu dengan ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pada hari sama.
Menurutnya lagi, sepanjang 15 tahun terbabit dalam arena hiburan, ini merupakan kali pertama dia berdepan ugutan sedemikian.
“Saya pernah terima macam-macam ugutan sepanjang karier saya, tetapi ancaman kali ini paling menakutkan yang pernah diterima.
“Apa pun, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” ujarnya.
Hari ini Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili mengesahkan seorang pemandu lori berusia 35 tahun ditahan kira-kira pukul 9.15 malam semalam di Kota Sentosa, Kuching.
Katanya, turut dirampas adalah sebuah telefon pintar milik suspek dan lelaki itu akan direman hari ini di Mahkamah Sibu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE