PUTRAJAYA – Semua kemudahan jagaan kesihatan swasta yang menjual, membekal atau memberikan ubat-ubatan serta farmasi komuniti perlu meletakkan tanda harga ubat bermula esok.
Perintah itu dibuat di bawah pelaksanaan inisiatif Penandaan Harga Ubat di Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta dan Farmasi Komuniti kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menerusi kenyataan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, inisiatif ini dilaksanakan sejajar dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan agenda ketelusan harga melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).
“Ia bertujuan memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga terbaik dalam merancang perbelanjaan ubat-ubatan.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723],” katanya hari ini.
Menurut kedua-dua menteri itu, skop penandaan harga ubat merangkumi semua ubat untuk kegunaan manusia termasuk ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi atau tidak, ubat melalui kaunter, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan sediaan yang dibancuh.
Jelasnya, penandaan harga ubat hendaklah dilakukan dalam bentuk senarai harga atau tanda harga.
“Ubat-ubatan yang dipamerkan untuk jualan dan boleh diakses oleh pengguna, hendaklah dilabel, teg atau tanda harga pada ubat tersebut.
“Manakala, ubat yang tidak dipamerkan atau diletakkan di belakang kaunter yang tidak boleh diakses atau dilihat oleh pengguna pula hendaklah dipaparkan dalam bentuk senarai harga jualan,” katanya.
Katanya, senarai harga jualan ubat boleh dipaparkan dalam bentuk fizikal di fasiliti kesihatan terlibat, dalam bentuk katalog, papan kenyataan atau skrin elektronik. – KOSMO! ONLINE