TMJ bangga bekas kapten JDT pimpin FA Singapura

3 hours ago 2

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bangga dengan pencapaian bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun yang kini menggalas tugas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Sebagai rekod, Hariss telah dilantik menjadi salah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kepimpinan FAS baharu bagi penggal 2025-2029 dengan kerusi presiden disandang oleh  pemilik Lion City Sailors (LCS), Forrest Li.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab Harimau Selatan menyifatkan bekas tonggak tengah pasukan miliknya itu sebagai individu yang tepat untuk menyandang jawatan tersebut.

Malah, Tunku Mahkota Ismail turut berharap ada bekas pemain negara yang dapat mengetuai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada masa akan datang

“Keputusan terbaik dan memang layak. (Hariss) Sangat profesional dan insan yang hebat.

“Harap suatu hari nanti bekas pemain kebangsaan akan mengetuai kepimpinan FAM pada masa akan datang. Insya-Allah,” kata Tunku Mahkota Ismail menerusi laman sosial X.

Pelantikan Hariss menyaksikan tonggak berusia 35 tahun itu sebagai pemain aktif pertama menggalas peranan dalam badan induk bola sepak Singapura itu kerana masih memiliki kontrak bersama kelab LCS.

Kongres pemilihan FAM pada awal tahun ini turut melakar sejarah tersendiri apabila dua legenda kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Datuk Dollah Salleh diserapkan sebagai Exco baharu bagi penggal 2025-2029.

Zainal terpilih menjadi Exco merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM manakala Dollah dilantik sebagai naib presiden dengan portfolio sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |