Lelaki didenda RM12,000 jual android box ‘haram’

3 hours ago 2

GEORGE TOWN – Seorang ejen telekomunikasi didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual peranti android box yang mengandungi akses ke saluran Astro tanpa kebenaran.

Hakim, Juraidah Abbas turut memerintah Lim Chin Hua, 39, menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda. Selain itu, mahkamah turut memerintahkan agar peranti tersebut dilupuskan.

Mengikut pertuduhan, Chin Hua, dituduh menjual satu unit kelengkapan komunikasi android box yang digunakan untuk akses ke saluran Astro tanpa kebenaran daripada Astro Malaysia Holding Sdn. Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai telekomunikasi di Jalan Jelutong pada 15 Oktober 2024, kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 yang boleh didenda sehingga RM 200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 15 Oktober 2024, kira-kira pukul 1.30 tengah hari, sepasukan pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menjalankan satu serbuan dan tangkapan di sebuah premis berdasarkan maklumat berkaitan pelanggaran hak cipta.

Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati premis tersebut menggunakan perkhidmatan V2 Broadband. Seorang pegawai teknikal dari Astro telah menjalankan ujian penstriman (ujitayang) terhadap sebuah set peranti penstriman android box yang terdapat di premis tersebut.

Ujian penstriman itu menunjukkan saluran-saluran milik Astro telah disiarkan secara tidak sah melalui peranti tersebut dan ia jelas merupakan satu pelanggaran hak cipta kerana kandungan siaran Astro dirakam dan ditayangkan tanpa kebenaran menerusi peranti tersebut.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, S.Preeya Darrsini memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh agar ia dapat memberi pengajaran supaya kesalahan itu tidak diulangi pada masa akan datang.

“Hukuman setimpal juga akan memberi isyarat kepada masyarakat agar kesalahan ini tidak lagi diulang. Akibat daripada tindakan begini, ia menyebabkan kerugian kepada syarikat terlibat dan dipohon agar barang kes dilupuskan,” katanya.

Sementara itu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah agar memberi hukuman yang ringan memandangkan dia hanya bekerja sebagai ejen syarikat telekomunikasi yang tidak mempunyai gaji tetap.

Kosmo! difahamkan, tertuduh sudah membayar denda tersebut sejurus pendakwaan terhadapnya selesai dijalankan pagi tadi. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |