Pusat hiburan ‘Mini Manila’ dalam radar polis, imigresen

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Dua pusat hiburan di sebuah pusat beli­-belah di ibu negara dikenali ‘Mini Manila’ kini berada dalam radar pihak berkuasa selepas disyaki menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan haram tersebut susulan pendedahan laporan khas akhbar Kosmo! hari ini.

Menurutnya, pusat beli-belah itu yang menjadi kawasan tumpuan warga asing merupakan antara ‘hotspot’ (lokasi panas) yang dikenal pasti pihak berkuasa.

“Kita mengambil maklum mengenai laporan yang didedahkan oleh pihak Kosmo! (berkaitan pusat hiburan ‘Mini Manila’) dan akan menyiasat perkara ini dengan segera,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, tindakan membanteras aktiviti haram di sekitar ibu kota, termasuklah golongan warga asing akan dilakukan melalui kerjasama bersepadu di bawah Kuala Lumpur Strike Force.

“Ia melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Tindakan tegas akan diambil dannpolis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rusdi memaklumkan siasatan boleh dibuat di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan berhubung aktiviti persundalan.

“Kes juga boleh disiasat di bawah Akta Imigresen (kerana menggajikan warga asing) dan Akta Pihak Berkuasa Tempatan (berkaitan lesen dan pengubahsuaian premis tanpa kebenaran),” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff memaklumkan bahawa kegiatan itu turut berada dalam radar dan pemantauan pihak JIM.

“Kegiatan ini sudah berada dalam radar dan risikan JIM Kuala Lumpur dan tindakan akan diambil dalam masa terdekat,” jelasnya.

Terdahulu, laporan muka depan Kosmo! mendedahkan kedua-dua premis yang berada di tingkat empat pusat beli­-belah berkenaan dipercayai men­jalankan operasi bermula se­awal pukul 10 pagi hingga lewat malam.

Seorang pekerja tempatan yang enggan dikenali mendakwa, terdapat sekumpulan wanita warga asing yang berlegar-legar di sekitar premis terbabit yang dipercayai bekerja sebagai GRO.

Dakwanya, golongan GRO itu dilihat cuba mendapatkan pelanggan sebelum membawa masuk ke dalam premis yang kononnya beroperasi sebagai pusat karaoke. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |