150 keluarga terima bantuan ‘Prihatin Banjir Sungai Buloh’

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Seramai 150 keluarga yang terjejas dalam kejadian banjir di Sungai Buloh menerima bantuan barangan elektrik dan keperluan dapur bernilai RM100,000 menerusi inisiatif “Prihatin Banjir Sungai Buloh” semalam.

Mereka adalah penduduk Kampung Kubu Gajah dan penghuni Pusat Tahfiz Az Zahrah Lilbanat, Kampung Sungai Pelong.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif pihaknya dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Antara barangan yang diagihkan termasuk dapur memasak, periuk nasi, kuali, pengisar dan kipas selepas peralatan memasak tersebut rosak dalam kejadian banjir minggu lalu.

“Bagi pusat maahad tahfiz yang terjejas, kami menyumbangkan peti sejuk beku, pam air, sistem pembesar suara, dapur, rak besi dan tikar getah bagi membantu para pelajar meneruskan pengajian dalam suasana lebih selesa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut merakamkan penghargaan kepada pihak AIM atas kerjasama erat bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Urusan AIM, Datuk Shamir Aziz dan barisan kepimpinan AIM atas kerjasama erat dan komitmen diberikan kepada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dalam memastikan bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.

“Ini bukan sekadar bantuan sahaja, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan terus komited membantu rakyat setiap masa, susah senang kita tetap bersama. Inilah semangat setiakawan prihatin di Sungai Buloh,” katanya.

Ketua Cabang PKR Sungai Buloh itu memberitahu, Kerajaan Madani komited membantu rakyat yang berdepan dengan bencana dan akan memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam menerima bantuan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |